Early Childhood, Parenting

Contohi Nabi : Tiga Masa Sesuai Memberi Pelajaran.

Sentiasa memberi pelajaran boleh menjemukan anak-anak dan menyebabkan mereka tidak berminat untuk mendengar kata-kata nasihat dari ibubapa. Kadang-kadang, kita sebagai ibubapa perlu menahan diri kita dari asyik hendak memberi nasihat tidak kira masa.

Pemilihan masa yang sesuai untuk memberi nasihat juga merupakan faktor penting agar nasihat diambil berat.

Menurut Dr Muhammad Nur Abdul Hafizh Suwaid dalam buku Prophetic Parenting, ada 3 masa sesuai untuk memberi nasihat dan pengarahan kepada anak.

1.Semasa Dalam Perjalanan

Nabi Muhammad saw memberi pengarahan dan nasihat semasa di dalam perjalanan ketika jiwa anak kecil bersedia untuk menerima nasihat dan arahan. Ini kerana suasana di dalam perjalanan adalah suasana yang terbuka dan anak kecil sedia untuk menerima sesuatu pelajaran dan pengalaman baru ketika dalam perjalanan.

Seperti dalam riwayat al_hakim dalam Kitab Mustadraknya. Dia meriwayatkan dari Ibnu Abbas ra :

Nabi saw diberi hadiah seekor bighal oleh Kisra. Baginda menungganginya dengan tali pemegang dari sabut. Baginda memboncengkan aku dibelakangnya. Kemudian baginda berjalan. Tidak berapa lama kemudian, baginda menoleh dan memanggil “Wahai anak kecil” Lalu aku menjawab “Labbaika, wahai Rasulullah”. Baginda bersabda, “Jagalah agama Allah, nescaya Dia menjagamu….hadis”

semasa di pulau bohey dulang

2. Semasa Makan

Antara sunnah nabi saw ialah baginda makan bersama anak-anak. Ini kerana, jika terdapat apa-apa kesalahan pada anak semasa makan, baginda akan menasihatinya dengan cara yang terbaik ketika itu. Selain itu, masa makan merupakan masa yang sangat sesuai untuk merapatkan hubungan sesama keluarga.

Diriwayatkan dari Umar bin Abi Salamah ra berkata : “Aku masih kanak-kanak ketika dalam jagaan Rasulullah saw. Ketika makan, tanganku bergerak ke sana ke mari. Rasulullah saw bersabda kepadaku “Wahai anak kecil, sebutlah basmalah, makanlah dengan tangan kanan dan makanlah apa yang ada dihadapanmu”. Sejak itu, begitulah caraku makan”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Waktu Anak Sakit

Semasa sakit, hati orang yang sakit kebiasaanya lebih lembut dan mudah menerima nasihat. Bagi seorang anak, nasihat yang baik semasa sakit boleh diberi untuk tujuan menegur tingkahlakunya dan meluruskan keimanannya.

Rasulullah saw sendiri telah mengajak seorang anak Yahudi yang menjadi pelayannya untuk menerima Islam semasa anak itu sakit. Dan anak itu menerima Islam dengan restu ayahnya ketika itu juga.

gambar ihsan google

Subhanallah, Maha suci Allah yang memberi hikmah kepada nabi dalam mendidik anak-anak kecil sehingga menerima Islam.

Semoga kita juga dapat mencontohi masa-masa yang sesuai untuk memberi nasihat dan arahan kepada anak-anak kita mahupun anak didik kita.

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *